Popular in Families
Empat tahap pemakanan bayi
Bermain galak perkembangan kanak-kanak
Makanan pertama bayi
Didik anak jaga gigi sejak kecil lagi
Shaking is child abuse
 
 
Custom Search

what's popular?

Eats
Gai Ta Kra
more Eats

Travelific

Wild time at Cherating
more Travelific

Gadgets
The Last of Us releases June 14

Additionally, limited edition collection packs of the highly acclaimed PlayStation 3 exclusive title The Last of Us, the survival horror video game by the developer Naughty Dog Interactive, will be released along with the game on the same date.


more Gadgets

Penyusuan eksklusif
Families
   
Bimbang bayi tidak mendapat bekalan mencukupi membuatkan ibu beralih kepada susu formula
  • TERUSKAN PENYUSUAN...walaupun mengandung anak ketiga, Nor Farah masih meneruskan penyusuan anaknya

  • SIHAT...bayi yang mendapat susu ibu sepenuhnya jarang sakit

RAMAI ibu mengetahui kebaikan susu ibu, namun masih ramai yang tidak dapat menyusukan anak mereka secara eksklusif enam bulan, seterusnya dua tahun disebabkan pelbagai masalah.

Ada yang memberi alasan tiada pengalaman, tidak mendapat sokongan, menyusahkan, meletihkan serta tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi.

Ada juga ibu bertekad menyusu anak terutama ibu bekerja tetapi hasrat itu terhalang disebabkan kekangan waktu memerah susu serta tiada tempat sesuai melakukan aktiviti itu.

Di Malaysia, peratusan ibu menyusu bayi secara eksklusif masih rendah berbanding negara Asia lain iaitu kira-kira 16 peratus saja. Statistik menunjukkan Malaysia adalah negara terendah bagi penyusuan bayi secara eksklusif dan negara tertinggi pengguna susu formula.

Ini disebabkan pengeluar makanan bayi berlumba-lumba mengiklankan makanan tambahan yang lain agar diberi pada usia terlalu muda, juga mitos mengatakan cara paling ideal membesarkan bayi adalah dengan memberi susu formula dan penyusuan melalui botol.

Konsep ini secara langsung dan tidak langsung, berjaya melekat dalam minda wanita bergelar ibu yang bayi mereka memerlukan susu formula dan makanan tambahan, pada hal susu ibu menyediakan semua khasiat diperlukan tubuh bayi.

Menurut Kaunselor Laktasi dan Pengarah Urusan Sarakids, Nor Farah Farhan Abdul Fattah, yang berpengalaman mengendalikan kelas penyusuan susu ibu dan seminar keibubapaan, kegagalan ibu bekerja menyusukan anak mereka kerana kurang kefahaman mengenai kaedah penyusuan, tidak bersedia menyusukan anak mereka serta tidak cukup cekal.

Mereka mudah terikut kata golongan yang tidak menyokong penyusuan susu ibu dan berfikiran negatif terhadap penyusuan susu ibu.

"Justeru, ibu ini merasakan akan berdepan masalah jika ingin kembali bekerja. Namun sebenarnya, penyusuan susu ibu tidaklah sepayah mana, apa yang penting persediaan mental sebelum bersalin mengenai penyusuan susu ibu," katanya.

Menurut Nor Farah, kini kebanyakan ibu sudah sedar hakikat kepentingan susu ibu dan semakin ramai ibu bekerja menyusukan anak secara eksklusif.

Menyusukan anak secara eksklusif bermakna bayi disusukan dengan susu ibu sahaja selama enam bulan dan meneruskannya sehingga dua tahun. Ini bermakna selama enam bulan, bayi tidak diberi air masak, susu formula atau makanan tambahan lain selain daripada susu ibu.

Berdasarkan pengalaman Nor Farah yang menjalankan bimbingan penyusuan kepada ibu, antara masalah yang sering dinyatakan ialah kekhuatiran mereka sekiranya tidak dapat menyusukan anak selepas kembali bekerja disebabkan jadual kerja yang padat, bimbang dengan persekitaran serta majikan yang tidak memahami serta tidak dapat menyediakan keperluan susu yang cukup.

Justeru, pengetahuan mengenai penyusuan sangat penting untuk membantu ibu berkerjaya meneruskan penyusuan susu ibu.

"Kesibukan bekerja bukanlah halangan untuk menyusukan anak secara eksklusif. Teknik penyusuan dan perahan penting bagi ibu yang ingin memulakan kerja selepas bersalin. Tidak mustahil sekiranya ibu mampu menyusukan anak sehingga dua tahun.

"Ini kerana susu ibu mempunyai 1,001 khasiat bagi bayi hingga mereka meningkat dewasa. Jika ibu mengalami kesukaran dalam menyusukan anak, ibu harus merujuk kepada pakar laktasi terlatih yang amat menyokong usaha menyusukan anak secara eksklusif," katanya.

Sekiranya ibu sudah berniat menyusukan anak sepenuhnya, mereka perlu membuat persediaan ketika masih mengandung.

Menurutnya, persediaan awal ini sangat penting bagi menguatkan mental supaya apabila mereka berdepan dengan cabaran penyusuan, ibu ini dapat menghadapinya.

Antara persediaan awal ialah menghadiri kelas penyusuan, membaca banyak buku serta melayari Internet mengenai kebaikan susu ibu, mendapatkan pandangan pakar supaya ibu bersedia menyusu semasa kelahiran anak, dalam tempoh berpantang dan semasa ingin meneruskan penyusuan.

Paling penting ketika kelahiran anak, seeloknya susukan anak dalam masa satu jam selepas bersalin. Ini menggalakkan penyusuan susu ibu menjadi lebih efektif dan anak akan lebih bersedia untuk menyusu dengan susu ibu.

Semasa tempoh berpantang, susukan anak secara terus dan tidak sesekali mencampurkannya dengan susu formula atau memberi bayi air masak. Pemerahan susu ibu boleh dimulakan selepas beberapa hari kelahiran dan ibu sudah boleh mula menyimpan stok susu di dalam peti sejuk untuk kegunaan ketika bekerja nanti.

"Susu ibu boleh disimpan dalam peti sejuk dua pintu (pintu atas selama tiga bulan), peti sejuk satu pintu selama dua minggu dan peti sejuk beku selama enam bulan. Ibu dinasihatkan untuk meneruskan penyusuan secara terus tanpa memberikan bayi susu perahan ketika dalam tempoh berpantang. Ini dikhuatiri akan menyebabkan bayi keliru puting," katanya.

Di pasaran, terdapat pelbagai produk penyusuan susu ibu yang boleh digunakan seperti beg penyejuk, ais penyejuk berbentuk gel dan pam susu sama ada manual atau elektrik untuk memudahkan ibu semasa hendak memulakan kerja nanti. Cara ini lebih mudah daripada berulang-alik ke rumah untuk menyusukan bayi.

Setelah kembali bekerja, ibu boleh memerah susu sekurang-kurangnya tiga jam sekali di pejabat (sila minta kebenaran dan sokongan majikan untuk tujuan ini) bagi meningkatkan permintaan terhadap payudara supaya menghasilkan lebih banyak susu.

Semakin banyak permintaan, semakin banyak susu dihasilkan dan semakin efektif ibu mengosongkan payudara sama ada dengan cara menyusu atau memerah (apabila berlaku perpisahan sementara bekerja), semakin banyak susu akan terhasil.

Proses stimulasi amat penting untuk meneruskan laktasi atau pengaliran susu. Jadi, penting bagi ibu terus menyusu bayi ketika di rumah, pada hujung minggu dan hari kelepasan.

Payudara akan berasa tegang atau lebihan takungan susu setiap kali selepas hari kelepasan atau cuti disebabkan lebih stimulasi pada hari sebelumnya. Ini akan memudahkan lagi proses memerah susu pada hari itu.

Akui Nor Farah, ketika melahirkan anak sulung Puteri Sara Azalea, dia kurang pengalaman dan persediaan mengenai penyusuan susu ibu.

Namun dia tidak patah semangat dan mendapatkan maklumat mengenai penyusuan. Akhirnya dia dapat menyusukan anaknya secara eksklusif selama dua tahun.

"Memang banyak cabarannya menyusukan anak, namun saya tekad dan kuatkan semangat. Alhamdulillah saya berjaya menyusukan anak secara eksklusif sehingga dua tahun dan masih meneruskan penyusuan.

"Sebagai ibu bekerja dengan kekangan masa menguruskan perniagaan, saya tetap mencari masa untuk menyusukan anak. Malah kini walaupun sedang mengandung anak ketiga, saya masih menyusukan anak kedua Puteri Syasya Adalea yang kini berusia dua tahun .

"Ini adalah nikmat yang tidak ternilai bagi seorang ibu seperti saya kerana dapat menyediakan keperluan emosi dan fizikal tanpa memberhentikan susu secara mendadak yang mana akan mengganggu emosi anak yang lebih tua (yang masih menyusu).

"Untuk ibu bekerja seperti saya, sokongan daripada suami, ibu bapa, keluarga dan majikan amat penting bagi meningkatkan semangat meneruskan penyusuan.

"Selain itu, bertemu dengan ahli kumpulan sokongan susu ibu yang menyusukan anak secara eksklusif sangat membantu bagi mendapatkan pelbagai panduan mengenai penyusuan masing-masing. Lebih penting saya dapat membantu ibu bermasalah dalam menyusukan anak mereka pada awal kelahiran mahupun laktasi semula," jelasnya.

Selain kebaikan daripada segi meningkatkan antibodi badan, penyusuan susu ibu memberi kebaikan kepada perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak. Biasanya bayi yang disusu sepenuhnya jarang sakit kerana mempunyai antibodi yang kuat.

Anak-anak juga lebih rapat dan mendengar kata. Daripada segi fizikal, mereka mencapai peristiwa penting dengan lebih cepat seperti meniarap, merangkak, berjalan dan bercakap dengan petah lebih awal daripada jangkaan.

"Saya amat gembira kerana dapat menyusukan anak saya dengan susu sendiri yang tersedia bila-bila masa tanpa susu formula.

"Ini kerana dengan menyusu sendiri, saya tahu sumber yang masuk ke dalam perut mereka, berbanding susu formula yang dibuat dengan susu lembu.

"Setiap kali menyusukan mereka, saya berasakan satu keindahan perasaan sebenar bagi seorang ibu. Apabila saya menyusukan mereka, saya mendakap mereka dengan penuh kasih sayang, bukannya lama, hanya untuk dua tahun sahaja," katanya.

Walaupun berjaya menyusukan kedua-dua anak secara eksklusif, Nor Farah masih belum puas kerana peratusan ibu menyusu bayi secara eksklusif di Malaysia masih rendah. Di kawasan luar Kuala Lumpur, ramai ibu tidak menyusukan anak secara eksklusif dan bertukar kepada susu formula seawal dua bulan umur bayi.

Ramai juga menggunakan istilah kering susu sebagai punca kegagalan penyusuan susu ibu. Konsep permintaan dan pembekalan perlu difahami ibu supaya mereka tidak salah anggap dengan kebolehan badan masing-masing menghasilkan susu untuk anak-anak.

Justeru, Nor Farah membuka Pusat Penyusuan Susu Ibu, Sarakids untuk membantu ibu terutama ibu bekerja menyusukan anak-anak mereka serta mendapatkan produk penyusuan susu ibu. Kelas penyusuan susu ibu juga dijalankan sebulan sekali untuk ibu mengandung dengan topik khas pada setiap bulan.

"Saya selalu berkongsi kisah penyusuan daripada pengalaman sendiri mahupun daripada ibu yang datang untuk mendapatkan khidmat kaunseling daripada saya.

"Menerusi laman sesawang www.sarakids.com, saya berharap sedikit sumbangan saya akan membuatkan ibu lebih bersemangat menyusukan anak," katanya yang kini membuka lima cawangan utama seluruh negara dan melebarkan produk ke Brunei, Singapura dan Korea.

Sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia pada 1 hingga 7 Ogos baru-baru ini, dia menyeru semua ibu di Malaysia agar menyusukan bayi mereka secara eksklusif enam bulan dan diteruskan sehingga dua tahun.

Untuk maklumat lanjut mengenai Sarakids termasuk sesi kaunseling penyusuan, kunjungi 42-1, Jalan Opera L U2/L, Taman TTDI jaya, Shah Alam, Selangor atau hubungi 03-78475369.

Panduan buat ibu bekerja

* Minum air secukupnya dan makan makanan seimbang.

* Cuba ambil masa untuk berehat kerana ini penting untuk penghasilan susu ibu.

* Bangun tidur lebih awal (20 minit) dan susukan anak walaupun dia sedang tidur atau separuh tidur. Ini akan membuat bayi kenyang dan tenteram sementara ibu bersiap untuk pergi kerja.

* Bersarapan dengan makanan yang mengenyangkan dan susukan bayi sekali lagi sebelum keluar.

* Sementara menunggu masa untuk pulang ke rumah, beritahu pengasuh supaya memberi bayi susu sekadar mencukupi keperluannya untuk menghilangkan rasa dahaga.

Pada masa sama, waktu ini ibu mungkin rasa ´penuh´ di kedua-dua belah payudara dan mengharapkan bayi menghisap sepuas-puasnya sebaik sampai di rumah.

* Ibu harus susukan bayi secepat mungkin (30 minit) sebaik sampai di rumah.

* Susukan bayi pada kedua-dua payudara. Amalan ini sangat digalakkan.

* Jika susu keluar dan membasahi baju, tekan kedua-dua telapak tangan pada payudara beberapa minit. Lakukan secara berpeluk tubuh supaya tidak ketara.

Gunakan alas baju dalam dan amalkan menukarnya selalu apabila basah. Ini boleh mengelak daripada sakit puting. Ketumpahan susu juga boleh berlaku apabila ibu teringatkan bayi.

* Jangan biarkan payudara penuh susu lebih daripada tiga jam tanpa memerahnya. Ini boleh membuatkan ibu tidak selesa dan boleh berlaku bengkak susu.

Perahkan susu sambil mengurut perlahan-lahan untuk melegakan rasa keperitan. Jika suka, demah menggunakan tuala suam atau sejuk.

* Bertenang dan perah susu di tempat yang sunyi dan jauh daripada segala kebisingan.

* Jika memerah susu di rumah, tunggu 30 hingga 40 minit selepas anda menyusukan bayi sebelum membuat perahan. Proses ini memberi masa untuk ´kilang susu´ membuat tambahan.

Panduan penyusuan sempena Ramadan:

Berpuasa tidak akan memudaratkan ibu yang menyusu dan bayi yang disusukan. Sebenarnya, seorang ibu menyusu tetap boleh menyusukan seperti biasa, selagi dia tidak mengalami dehidrasi.

Disarankan ibu menyusu dan mengandung mengambil air yang cukup pada sebelah malam (jika terjaga, minum segelas air) dan waktu sahur untuk memastikan keperluan cecair badan dipenuhi dan menggantikan air yang sudah hilang ketika berpuasa.

Sebelum Ramadan:

* Amalkan makanan berkhasiat dan seimbang mengikut piramid makanan.

* Kerap mengepam (untuk mengumpul stok susu) dan menyusukan bayi.

* Berfikiran positif untuk lebih bertenang menghadapi bulan puasa daripada memikirkan mengenai susu tidak cukup.

Ketika Ramadan:

* Banyakkan makan kurma (sewaktu bersahur dan berbuka) dan makanan penambah susu seperti sayuran hijau dan bijirin.

* Ibu hendaklah bersahur, lewatkan sahur dan segerakan berbuka. Tetapi jangan makan makanan berat dahulu.

* Banyakkan sesi penyusuan (terutama waktu malam dan sahur untuk meningkatkan penghasilan susu) dan mengepam.

* Cuba makan dan minum sedikit-sedikit dan kerap pada waktu malam.

* Banyakkan bertenang, berdoa dan berfikiran positif.

* Amat penting untuk menjaga dan mengawal dehidrasi daripada berlaku. Tanda berlakunya dehidrasi yang teruk:

> Berasa hendak pitam terutama selepas mengepam dan menyusukan bayi.

> Berasa sakit kepala dan seperti hendak demam.

> Air kencing menjadi pekat dan berbau kuat.

> Terasa loya, menggigil dan ingin muntah.

> Berasa lemah dan sakit otot.

> Mudah marah dan emosi yang tidak stabil.

Untuk mengelakkan dehidrasi yang teruk, amat penting bagi ibu mengambil makanan dan minuman mengandungi jumlah cecair yang banyak.

Bagi ibu yang menyusu dan mengandung, sekurang-kurangnya dua liter air sehari diperlukan bagi menjaga keseimbangan bendalir badan.

Minum air yang banyak bukanlah bermakna akan menghasilkan susu yang banyak. Ia sekadar menggantikan keperluan air yang hilang ketika berpuasa.

Source : Harian Metro
By : Siti Zarinah Sahib
11 Aug 2010


Previous Page

 
Custom Search
Terms of Service |  Privacy Policy |  Contact Us |  RSS |  Copyright© NSTP e-Media Sdn Bhd (411895-A)
Best viewed in 1280x1024 resolution.