The motion controller for Sony's PlayStation 3 system, the PlayStation Move, will be available in Malaysia on 15 September, along with six compatible games and other PlayStation Move peripherals, said Sony Computer Entertainment Hong Kong Limited (SCEH).
Gabungan aerobik dan muzik rancak resipi hebat jaga kesihatan tanpa sebarang tekanan membuat senaman
PANAS BADAN...aktiviti pemanasan badan penting sebelum memulakan senaman
SELESA...selain aerobik, peserta boleh melakukan aktiviti kardiovaskular di gimnasium
TARIAN MODEN...pergerakan aktif mampu meningkatkan pernafasan, sekali gus peredaran darah
SYAZLINA...jurulatih tarian moden di Easy Fitness
MELIHAT aksi sekumpulan wanita menari diiringi alunan muzik rancak, hati bagaikan ingin menari sama.
Mereka bukan sahaja menggerakkan tangan, kaki serta anggota tubuh, malah melompat mengikut pergerakan guru tari di hadapan.
Paling penting lagu diputarkan adalah lagu rancak dendangan penyanyi tempatan mahupun antarabangsa. Tidak hairan mengapa senaman berunsurkan bentuk tarian menjadi pilihan kebanyakan wanita. Ini kerana selain bersenam dan mendapat keseluruhan keistimewaan daripada pergerakan anggota tubuh, jiwa juga dapat direhatkan, hati ceria dan semua ini terpancar menerusi wajah yang sentiasa akan tersenyum selepas menari.
Tarian moden biasanya ditarikan di pusat hiburan, diiringi alunan muzik rancak sambil menyaksikan pergerakan anggota tubuh yang cepat. Menariknya, pergerakan ini bebas tanpa ada peraturan tertentu. Ia lebih kepada penggabungan pelbagai jenis tarian moden menjadi satu.
Menurut pemilik Easy Fitness Gym, Azlina Mansor, pergerakan tarian moden adalah mengikut pergerakan aerobik namun dimasukkan unsur seni tari moden dan disesuaikan mengikut lagu.
Justeru, pemilihan lagu sangat penting kerana akan meningkatkan rasa untuk bersenam. Muzik juga akan merangsang pergerakan, sekali gus membangkitkan keghairahan menari.
Namun bukan keinginan sahaja menjadi unsur utama, paling penting senaman tarian moden ini memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh.
"Dengan menari, anda boleh membakar kalori sama banyak seperti berjalan, berenang atau berbasikal. Dalam tempoh kira-kira setengah jam menari, antara 200 hingga 400 kalori dapat dibakar.
"Senaman tarian yang kerap dapat memperlahankan kadar degupan jantung, merendahkan tekanan darah dan mengawal kandungan kolesterol," katanya ketika ditemui di gimnasium yang beroperasi di Bandar Seri Putra, Bangi.
Gerakan sisi dalam kebanyakan tarian membantu menguatkan tulang dan mengelakkan proses pereputan atau osteoporosis. Namun, tarian ini tidak sesuai untuk wanita yang sudah berusia kerana pergerakan perlu dilakukan cepat, rancak serta aktif yang mungkin tidak mampu ditanggung oleh badan peserta.
Namun, wanita berusia boleh menyertainya kerana Easy Fitness menyediakan pelbagai kemudahan bersenam untuk semua peringkat usia. Bagi yang sudah berumur, mungkin boleh menggunakan kemudahan gimnasium seperti basikal, mesin trek, kerusi bangun duduk serta bola yang juga mempunyai pelbagai kebaikan.
Sebelum menari, peserta akan melakukan aktiviti memanaskan badan 10 sehingga 15 minit. Selepas itu, senam tari akan dilakukan 30 minit dan berakhir dengan aktiviti menyejukkan badan. Selain tarian moden, antara senaman lain yang disediakan ialah tarian Bollywood, tarian gelek, poco-poco, joget asli dan latin.
Menurut jurulatih seni tari moden, Syazlina Mohd Noor, pergerakan dalam tarian moden direka sendiri dengan menggabungkan unsur aerobik dalam tarian. Sering kali wanita membuat persepsi, bersenam adalah satu perkara meletihkan namun kenyataan ini tidak benar.
Dalam usaha membudayakan amalan bersenam di kalangan masyarakat, sebagai jurulatih tarian, Syazlina perlu kreatif mempelbagaikan beberapa genre tarian sama ada moden atau tradisional untuk menjadi sebahagian elemen senaman.
"Namun jangan beranggapan apabila anda melakukan senaman tarian, ia mampu melangsingkan badan. Usaha ini hanya sia-sia sekiranya tidak dijadikan rutin serta punya semangat yang tinggi," katanya.
Sebagai individu yang mempunyai pengalaman dalam bidang senaman, Syazlina berpendapat seni tari wajar dijadikan alat kecergasan alternatif untuk membantu membakar kalori, melancarkan pengaliran darah, meregangkan otot badan selain berkesan mengajar kaedah mengawal pernafasan dengan baik dan bermanfaat untuk kesihatan.
"Tarian adalah senaman, tidak kira sama ada tradisional atau moden. Kedua-duanya tetap dianggap sebagai gerakan yang mempunyai fungsi sinonim yang baik terhadap tubuh manusia. Selain itu bersenam mempunyai komponen sosial yang baik berbanding aktiviti lain. Ini kerana pertemuan sesama rakan memberi peluang kepada individu membangunkan ikatan sosial serta membina keyakinan diri," katanya.
Selain untuk wanita, Easy Fitness menyediakan seni tari untuk kanak-kanak berusia 10 sehingga 17 tahun serta kelas taekwando untuk kanak-kanak berusia empat tahun.
Kelas aerobik diadakan pada Sabtu dan Ahad bermula 10.45 pagi sehingga 11.45 pagi. Kelas taekwando pada Sabtu bermula jam 8 sehingga 9.30 pagi. Ini bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai kebaikan bersenam. Easy Fitness juga menyediakan kemudahan senaman untuk lelaki yang diadakan bersebelahan bangunan. Kelas aerobik Easy Fitness dibuka pada setiap hari dan kini peserta berdaftar mencecah 30 orang. Peserta boleh memilih pakej disediakan sama ada untuk mengikuti latihan gimnasium atau aerobik atau kedua-duanya sekali.
Bilik senaman yang selesa dilengkapi surau serta ruang menunggu bersama bahan bacaan dan televisyen memudahkan wanita membawa anak bersama.
"Rata-rata pengunjung sudah berkeluarga dan bekerja. Jadi mereka dibenarkan membawa anak ke sini kemudian bersenam. Selain menarik minat kanak-kanak kepada aktiviti sihat, ia boleh mengeratkan lagi hubungan keluarga," kata Azlina.
Bagi yang berminat menjalani seni tari serta bersenam di gimnasium boleh berkunjung ke Easy Fitness di alamat No4-1, Tingkat 1, Jalan Seri Putra 1/4, Bandar Seri Putra, Bangi atau e-mel easyfitness2u@yahoo.com
Info
Panduan memilih program latihan senaman:
> Lakukan senaman mengikut keupayaan fizikal anda.
> Lakukan senaman secukupnya untuk mendapat manfaat dan senaman haruslah menyeronokkan.
> Jangan lakukan aktiviti di luar kemampuan dan berlebihan.
> Dapatkan nasihat doktor sebelum memulakan latihan senaman.
> Pelbagaikan pergerakan seberapa yang boleh supaya senaman anda menyeronokkan.
> Jangan berhenti secara tiba-tiba ketika melakukan senaman. Pastikan anda melakukan pergerakan ringan kerana dikhuatiri akan pitam tiba-tiba.
> Berdisiplin melakukan senaman untuk mendapatkan hasil optimum.
> Banyakkan minum air sebelum bersenam dan selepas bersenam bagi menggantikan kehilangan air dalam badan.