The motion controller for Sony's PlayStation 3 system, the PlayStation Move, will be available in Malaysia on 15 September, along with six compatible games and other PlayStation Move peripherals, said Sony Computer Entertainment Hong Kong Limited (SCEH).
JAKET, sama ada digayakan sedondon dengan tas tangan atau mengikut tema acara, sentiasa dianggap sebagai pakaian yang termasuk dalam kategori elit kerana selain menyerlahkan jati diri pemakai, ia tidak keterlaluan dikatakan mampu mencetus aura anggun pemakai.
Malah, penggunaan jaket dikatakan mampu menyelamatkan penampilan sesiapa saja terutama jika disarungkan ke atas maxi, gaun atau kemeja-T.
Apa yang pasti penggayaan jaket akan mengingatkan pentas peragaan kepada keunggulan dan kesempurnaan jaket Chanel kerana ia adalah busana yang memberi impak besar terhadap dunia peragaan keseluruhan khususnya di Eropah.
Jaket tweed Chanel boleh dianggap sebagai pencetus idea kepada ramai pereka fesyen yang menggemari gaya potongannya dan tentunya penggemar Chanel sendiri akan menyimpan sehelai jaket jenama itu di dalam almari pakaian mereka.
Ringkasnya, walau pelbagai jenis lagi jaket lain muncul mewarnai dunia fesyen, jaket tweed Chanel juga yang diperkatakan kerana ia berada dalam kelas tersendiri tanpa dapat ditandingi mana-mana pakaian yang sama jenis dengannya.
Ketika pereka fesyen, Gabrielle Coco Chanel, pertama kali menghasilkan jaket pada zaman 20-an, jaket berkenaan terus menjadi pakaian yang disukai ramai wanita pada masa itu selain memenuhi tuntutan masyarakat yang ingin tampil bergaya.
Sekali lagi, pada 1954 Chanel menawarkan jaket daripada fabrik kegemaran beliau, tweed, dan jaket berkenaan menjadi penanda penting dalam sejarah fesyen apabila terus digemari ramai sehingga kini, lebih-lebih lagi jaket berkenaan sangat sempurna.
Kesempurnaan itulah yang sehingga kini menjadi rahsia kepada keunggulan jaket Chanel yang lazim dilihat dipakai artis antarabangsa seperti Penelope Cruz, Mischa Barton dan Rinko Kikuchi.
Keunggulan Jaket Chanel terserlah dalam semua segi. Jahitan, potongan, kemasan mahupun perincian yang halus juga tampak begitu sempurna dan membuatkan kita akan sentiasa mengingati keistimewaan jaket berkenaan.
Ia membuatkan sesiapa yang menyarung jaket berkenaan berasa begitu istimewa kerana seolah-olah jaket itu dibuat khusus untuk mereka.
Apa rahsianya? Sempurna yang dimaksudkan di sini adalah kelim jahitan yang tidak meninggalkan kesan kepada jaket yang dihasilkan. Bahkan perincian jaket berkenaan juga membuatkan ia kelihatan seperti sehelai pakaian yang langsung tiada kesan sambungan.
Begitu juga ukuran membabitkan bahagian lengan dan poket yang mempunyai kiraan khusus bagi menjadikan ia tampak sempurna apabila dipakai.
Antara elemen yang menjadikan jaket Chanel unggul adalah fabrik pada bahagian dalam yang digunakan sudah semestinya sutera bermutu tinggi yang mampu melindungi kesan jahitan pada bahagian dalam jaket.
Sejak 1983, selepas Karf Lagerfeld bertanggungjawab untuk perekaan Chanel, beliau melakukan pengubahsuaian terhadap potongan jaket Chanel menjadi pendek atau memeri dan potongan sendat atau longgar seolah-olah boleh disesuaikan dengan apa atau sesiapa saja yang ingin memakainya.
Jaket Chanel di tangan Lagerfeld makin mengujakan kerana pereka dikenali dunia itu mampu menterjemah legasi Chanel yang sejak dulu sentiasa menarik, digemari sepanjang zaman dan unik.
Lagerfeld juga bijak mentafsir cita rasa Chanel kerana berupaya melampaui warisan pereka fesyen legenda itu seperti mengangkat mutu rekaan asal serta mengekalkan untuk masa depan.
Sehubungan itu, melalui mutu kerja bersifat halus dan berseni serta mengambil kira mengenai semua aspek berkaitan busana, tidak menghairankan kenapa jaket Chanel mampu mengharungi masa, memenuhi keperluan semasa dalam berfesyen dan lebih tepat, sentiasa diintai wanita yang ingin tampil sofistikated ketika bergaya.
INFO:
Jaket tweed Chanel
* Pengasas jenama Chanel adalah Gabrielle Chanel.
* Kemasan dan jahitan tepi sering dirujuk sebagai penanda unik kepada jenama Chanel.
* Poket dan butang juga adalah penanda rujuk kepada jenama Chanel.
* Setiap sut Chanel membawa pengertian mutu fabrik dan perekaan. Kedua-duanya adalah eksklusif.
* Skirt dan jaket untuk sut Chanel sentiasa dipotong pada ira fabrik yang sama untuk mengelakkan kecelaruan garis pada fabrik.