Dikelilingi 1,000 spesies tanaman
Decor
   
Mengunjungi rumah penulis politik ini bagaikan berada di pusat peranginan
  • TERSERGAM...pondok Pak Habib zahirkan kelainan

  • SEMULA JADI...Wadi Hussein terjemahan landskap kedamaian

  • MENDAMAIKAN...sudut santai di segenap penjuru taman

  • SELARI...landskap dan seni binaan menarik

  • KHAZANAH...idea Pak Habib diinspirasikan sepenuhnya

KEINDAHAN yang memukau. Antara perkataan paling sesuai menggambarkan keunikan landskap Taman Hana di Pondok Syed Hussein Al-Attas atau Pak Habib.

´Istana kayangan´ di Janda Baik, Bentong, Pahang itu mempunyai cerita tersendiri hingga membuatkan hati penulis melonjak menjelajah ke segenap penjuru taman.

Pak Habib memberitahu, kediaman dan Taman Hana berkeluasan 2.4 hektar itu melangkau perjalanan lebih kurang 1 kilometer jauhnya.

Idea penataan landskap yang diilhamkan Pak Habib sendiri memperlihatkan segala keindahan semula jadi berkumpul di situ dan dimanfaatkan sepenuhnya.

Begitu mendalam maksud yang diterjemahkan Pak Habib ketika menceritakan idea kewujudan Taman Hana sejak dimiliki 25 tahun lalu.

"Fahami tujuan kita dilahirkan, tujuan hidup dan antara amanah terpenting Allah kepada kita adalah menghijaukan bumi.

"Taman ini antara bukti sumbangan saya untuk negara dan generasi akan datang," kata penulis buku politik terkenal itu.

Pak Habib berkata sesiapa saja boleh mengunjungi taman berkenaan untuk menghayati sendiri keindahan dan keunikannya.

Kesinambungan itu kediaman yang menjadi persinggahan hujung minggunya kini menempatkan kira-kira 1,000 spesies tanaman termasuk bunga-bungaan dan buah-buahan.

Sebaik melangkah ke taman, pasu dekoratif yang bertulis ´University of Live´ terletak di pintu masuk itu bagaikan simbolik menyambut kunjungan tetamu saban waktu.

Bermula dengan latar landskap berbeza, ia memaksa sesiapa saja yang singgah di taman itu untuk meninjau lebih dekat.

Deruan air sungai semula jadi yang mengalir tenang melengkapi keindahan landskap dan bagaikan berada di sebuah pusat peranginan dengan suasana nyaman.

"Sungai yang mengalir menjadi terapi semula jadi dan batu-batuan pula berfungsi sebagai refleksologi unik yang jarang ditemui di tempat lain.

"Dari spesies tanaman hingga elemen hiasan seperti pasu, semuanya berbeza dengan tafsiran tersendiri selain keindahan itu memberikan ketenangan sepanjang masa," katanya.

Menariknya, kira-kira 700 jenis pasu yang dijadikan landskap kejur Taman Hana itu dan ia antara koleksi bernilai milik Pak Habib dari dalam serta luar negara.

Tidak hairanlah Taman Hana yang pernah memenangi pertandingan landskap itu memperlihatkan sudut yang berbeza kerana ia sengaja dicipta sedemikian kerana pemiliknya gemarkan kelainan.

Pengalaman hidup, melancong dan merantau ke negara orang menjadi inspirasi kepada Pak Habib untuk mengilhamkan taman serba lengkap.

Menelusuri Taman Hana itu, di bahagian hadapan bersebelahan laluan pejalan kaki berbatu asli refleksologi, pemandangan sungai semula jadi mengalir perlahan dengan teratai dan ikan kecil melengkapi ekosistemnya.

Di satu sudut unik pula dinamakan Wadi Hussien yang menjanjikan ketenangan semula jadi dengan latar landskap hijau lengkap elemen hidupan.

Pelbagai spesies tanaman air, air berpancuran dan kolam semula jadi ternyata membuai rasa ditambah dengan keheningan suasana serta kicauan burung.

Di tengah landskap indah itu tersergam Pondok Pak Habib yang menampilkan seni bina unik berdasarkan cita rasa tersendiri ilham pemiliknya.

Bermula dengan gaya ala Maghribi pada latar dinding diserlahkan dengan rona pilihan dengan gabungan sentuhan seni penuh perlambangan.

Reka letak beberapa cermin hiasan yang ditampal pada dinding kediaman menghadap taman dengan satu tujuan supaya tetamu melihat dan menginsafi ciptaan-Nya.

"Hiasan ini sering berubah mengikut waktu apatah lagi penataan yang kita lihat ini tidak sama dengan gaya hiasan beberapa tahun lalu.

"Rumah saya terbuka kepada sesiapa saja dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Mereka boleh mandi sungai bersebelahan rumah atau sekadar melihat taman.

"Paling penting, jaga amanah yang dipertanggungjawabkan kerana alam semula jadi dan manusia tidak dapat dipisahkan dan saling memerlukan," katanya.

Orang ramai yang mahu maklumat lanjut mengenai taman ini, boleh melayari laman web, http://shalattas.blogspot.com atau http://shalattas.com atau http://www.facebook.com/SyedHussienAlattas



Source : Harian Metro
By : Hartini Mohd Nawi
13 Nov 2010

Share

Previous Page