Majlis perkahwinan tidak lagi terhad di hadapan rumah atau dewan semata-mata, sebaliknya taman turut jadi pilihan. Dan pakaian pengantin turut disesuaikan dengan senario itu
BIRU...padanan biru sesuai untuk pengantin tinggi lampai yang inginkan warna terang. Padanan pelamin haruslah kontras dengan warna pakaian supaya terserlah penampilan
KLASIK...songket merah bunga tabur sesuai untuk pengantin yang ingin tampil dengan gaya tradisional dan klasik. Tambahkan hiasan cucuk sanggul supaya lebih menawan
MENAWAN...kebaya moden fabrik renda dan sifon dengan gabungan ungu krim menaikkan seri wajah mempelai
MODEN...gaun krim ala kemban, tampak moden bersama hiasan reben merah di pinggang. Sesuai untuk majlis dalam taman
ANGGUN...fabrik renda Perancis dengan perincian manik pada bahagian tepi baju menambah keanggunan mempelai. Seri terserlah menerusi layah comel serta sedikit perhiasan diri
KETIKA kaki melangkah ke pelamin pasti tumpuan mata tetamu pada sepasang mempelai yang segak serta anggun bergaya.
Sesuai gelaran raja sehari daripada hujung rambut hingga kaki, indah dan menawan. Pastinya senyuman manis terukir di bibir pasangan, semuanya sempurna daripada solekan, pelamin mahupun pakaian sama ada berkonsepkan tradisional, moden atau kontemporari.
Bagi menyerlahkan penampilan, pemilihan pakaian harus menepati tema dan warna.
Menurut pemilik butik perkahwinan D´Azzuieena Collection yang hanya mahu dikenali sebagai Azzuieena, kini rekaan gaun labuh menjadi pilihan mempelai untuk perkahwinan berkonsepkan dalam taman.
Bagaimanapun, pilihan pakaian tradisional seperti songket bunga tabur serta kebaya moden masih menjadi pilihan bagi mereka yang memilih tema dalam dewan.
"Pada tahun ini pakaian berkonsepkan moden menjadi pilihan mempelai sama ada untuk perkahwinan dalam taman atau dewan.
"Fabrik renda Perancis, sifon dan songket menjadi kegemaran mereka disebabkan sifat kain itu sendiri yang terletak cantik pada badan si pemakai lebih-lebih lagi bagi si manis tinggi lampai.
"Namun ini bukan bererti pengantin bertubuh gempal tidak sesuai mengenakan fabrik renda, jika kena dengan potongan dan bentuk badan, sesiapa juga anggun menggayakannya," katanya yang menjalankan operasi butiknya di Danau Kota Setapak, Kuala Lumpur.
Tambahnya lagi, jika dulu pasangan pengantin lebih suka memilih fabrik sewarna, tetapi kini gabungan dua warna memenuhi tema mereka.
Antaranya kombinasi perak dan ungu, krim dan hijau epal, hitam dan merah serta hitam dan putih. Gabungan warna ini memberi peluang kepada perunding perkahwinan menyediakan konsep sesuai membabitkan pakaian, perhiasan dan pelamin kemudian disesuaikan menerusi solekan.
"Biasanya saya meminta pendapat pasangan mengenai warna serta konsep yang disukai mereka. Selepas berbincang barulah saya memberikan pendapat, alhamdulillah kebanyakan pelanggan menerima pandangan saya," katanya.
Menurutnya, warna baju tidak seharusnya sewarna dengan pelamin kerana ia akan menenggelamkan keserian mempelai. Sebaliknya pemilihan warna kontras akan menaikkan seri wajah, sekali gus membuatkan pandangan mata tetamu lebih tertumpu kepada keindahan mempelai.