ORANGNYA kecil molek dan sentiasa bergaya. Meskipun usianya mencecah 50 tahun, gaya serta fizikal Pengarah Urusan RZAC Cosmetics Sdn Bhd, Datuk Kamaliah Abdul Halim persis wanita berusia 20-an.
KAMALIAH... sukakan kecantikan.
PELBAGAI...Kamaliah bersama beberapa produk keluaran syarikatnya.
TEGUH...Kamaliah bersama barisan kakitangan yang membantu kejayaan syarikat.
BERJAYA...Kamaliah di depan rumah dan kenderaan mewah hasil titik peluhnya dalam bidang kecantikan
TEKUN...Kamaliah dan anaknya, Erin meninjau proses pengeluaran produk.
Semuanya kerana beliau obses terhadap bidang kecantikan sejak kecil lagi hinggakan menjadi kemestian bagi dirinya kelihatan cantik dan bergaya.
Disebabkan itu, bidang kosmetik yang diceburinya bertepatan dengan jiwanya, malah membawa kejayaan kepadanya yang kini duduk sebaris dengan jutawan kosmetik terkemuka lain di negara ini.
"Sejak kecil saya suka kecantikan, malah cita-cita awal saya ialah pramugari. Pada saya, kecantikan penting tidak kira usia atau jantina.
"Meskipun ayah mahu saya menjadi ustazah, bukan tidak mahu tetapi saya lebih berminat dalam bidang kecantikan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seberang Jaya, Pulau Pinang baru-baru ini.
Beliau yang lebih suka menyapa dirinya dengan panggilan Kak K berkata, sejak berusia 12 tahun lagi dia terdedah dengan alat solek, malah turut menggunakannya.
"Saya suka lihat ibu saudara memakai alat solek, malah apabila dia tiada, saya menggunakannya. Dari situ, saya suka kelihatan cantik dan selepas tamat tingkatan lima, saya turut menjual produk kecantikan," katanya.
Kamaliah berkata, beliau pernah bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan di Perak tetapi hanya bertahan beberapa tahun kerana suasana kerja tidak sesuai dengan dirinya.
"Saya berkahwin ketika usia 21 tahun dan beberapa tahun kemudian suami melanjutkan pelajaran ke Scotland. Ketika itu saya masih bekerja di jabatan kerajaan sebelum mengambil keputusan berhenti kerana tidak berminat selain mahu menemani suami," katanya.
Menurutnya, di Scotland beliau tidak duduk diam, malah ketika suami belajar, dia sibuk membuat nasi lemak untuk dijual kepada penuntut Malaysia.
Hasil jualan nasi lemak itu, selain memenuhi keperluan di sana dan melancong, Kamaliah menggunakannya untuk membeli alat solek.
"Tiga tahun di sana, saya berpeluang mengelilingi Eropah selain mengenali alat solek negara luar. Penghijrahan ini turut membawa perubahan kepada diri saya, terutama mengenali dunia luar," katanya.
Kamaliah berkata, sekembali ke tanah air, mereka sekeluarga menetap di Kroh, Perak kerana suaminya ditugaskan di kawasan itu sebagai jurutera.
Seperti biasa, Kamaliah tidak betah duduk diam, malah beliau menjalankan perniagaan menjual kain pasang selain mewujudkan kelas memasak untuk wanita.
Selepas itu mereka berpindah ke Sungai Ara, Pulau Pinang dan beliau menjual tudung selain mengambil kontrak membuat pakaian.
"Ketika itu pendapatan saya tidak tetap, namun pada satu hari saya terbaca dalam satu majalah bahawa pengedar diperlukan untuk menjual satu produk kecantikan dari negara luar.
"Tanpa berlengah, saya ke ibu pejabatnya di Kuala Lumpur dan memohon membuka cawangan di Butterworth.
"Pada masa itu saya dikehendaki membayar RM10,000 dan kerana tidak cukup wang, saya minta membayarnya empat kali selain terpaksa meminjam dengan orang tua," katanya.
Menurutnya, pada 1998 beliau berjaya membuka kedai di Taman Selat, Butterworth dengan menjual produk dari luar negara itu.
"Sejak saya jual produk ini, jualannya laris dan dari situ saya buka salun. Namun, pada satu ketika produk ini merudum dan perniagaan mula terjejas.
"Tidak mahu bergantung harap dengan produk ini saja, pada 2000 saya terfikir untuk mencipta produk sendiri kerana sudah ada pengalaman.
"Produk ini dihasilkan di rumah dan antara produknya ialah sabun muka, pelembap dan pembersih," katanya.
Kamaliah berkata, untuk memastikan produknya berjaya, beliau melakukan pemasaran sendiri dengan bergerak dari rumah ke rumah.
"Bukan mudah untuk orang menerima produk ini, namun saya kuatkan semangat sehingga sedikit demi sedikit ia mula dikenali," katanya.
Menurutnya, daripada empat produk awal, kini syarikatnya mempunyai 105 produk kecantikan dari hujung rambut hingga hujung kaki.
Selain itu, daripada menyewa lot kedai di Taman Selat, beliau berjaya memiliki bangunan tiga tingkat milik sendiri di Seberang Jaya yang turut menempatkan ibu pejabat, salun, pusat kecantikan serta penjualan produk.
Kamaliah juga boleh berbangga dengan kejayaannya membuka cawangan di Bertam, Kepala Batas selain berhasrat mewujudkan satu cawangan RZAC di setiap negeri pada masa depan.
Sedia terima bayi terbuang
MESKIPUN bergelar jutawan, namun sebagai wanita dan juga ibu, Kamaliah tersentuh melihat anak yatim, termasuk bayi yang dibuang atau lahir tanpa bapa atau ibu.
Justeru, atas inisiatifnya dan suami, beliau menubuhkan Yayasan RZAC bertujuan membantu golongan sasaran termasuk sekolah yang memerlukan.
Katanya, kemurahan rezeki dikurniakan Allah SWT bukan hanya untuk dirinya seorang, malah bantuan dihulurkan dapat menceriakan lagi golongan yang serba kekurangan.
Berikutan rasa sayang terhadap kanak-kanak, Kamilia mengambil seorang anak angkat lelaki yang lahir Mac lalu dan kini berusia hampir enam bulan.
"Saya ambil anak angkat selepas ibu bapanya tidak mampu menjaga lalu menyerahkannya kepada saya.
"Beberapa bulan lagi, saya akan terima seorang lagi anak angkat, kali ini perempuan, disebabkan kesusahan dialami ibu bapanya," katanya yang sukakan kanak-kanak.
Kamaliah berkata, usaha itu diharap dapat mengurangkan gejala buang bayi yang berlaku ketika ini, malah beliau sedih dan tersentuh dengan berita dipaparkan mengenai gejala itu.
"Menitis air mata saya apabila membaca akhbar mengenai bayi tidak berdosa menjadi mangsa pembuangan pihak tidak bertanggungjawab.
"Dengan adanya yayasan ini, saya berharap gejala ini tidak berleluasa dan saya bersedia menerima bayi atau kanak-kanak yang menghadapi kesusahan atau keperitan hidup," katanya.
Menurutnya, beliau sangat sukakan kanak-kanak, apatah lagi anaknya sudah besar, termasuk tiga daripada mereka ketika ini menuntut di luar negara.
"Dengan kehadiran mereka, ia memecah kesunyian rumah saya, terutama selepas pulang daripada kerja," katanya.
Beliau berkata, apabila yayasan itu menerima tiga bayi atau kanak-kanak, beliau akan mencari lokasi sesuai untuk membesarkan mereka sehingga berjaya.
Menurutnya, ketika ini beliau hanya menjadikan rumahnya di Kepala Batas sebagai tempat menjaga anak angkatnya.
Katanya, setiap anak angkat dijaga seperti anak sendiri, malah beliau berharap mereka menjadi manusia berguna satu hari nanti.
Profil
NAMA: Datuk Kamaliah Abdul Halim
USIA: 50 tahun
LAHIR: 1 Ogos 1960 di Parit Buntar, Perak
JAWATAN: Pengarah Urusan RZAC Cosmetics Sdn Bhd
SUAMI: Ir Rahim Zainal Abidin
ANAK: Norhezreen, 27; Mohd Heezman, 24; Mohamad Hezmeen, 22; Mohamad Hezwan, 18, dan Mohamad Hazeeq, lima bulan (anak angkat)
PENDIDIKAN: Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Siakap, Kuala Kangsar, Perak dan Sekolah Menengah Agama Raja Perempuan Taayah, Ipoh, Perak