Gaya anggun musim sejuk
Fashion
   
Blaus pendek untuk parti eksklusif serlahkan personaliti.
  • Deliah Maxi Dress.

  • FaRiDa Dress.

MUSIM sejuk tidak mungkin berlaku di Malaysia berikutan ia terletak dalam garisan iklim khatulistiwa. Namun, ia tidak membataskan diri kepada seseorang untuk bergaya anggun dengan koleksi pakaian panas yang perlu disarung mengikut musim seperti masyarakat di Eropah, Jepun dan Amerika Syarikat untuk menghadiri apa saja majlis.

Blaus atau gaun pendek akan tetap menjadi pilihan untuk menghadiri majlis rasmi, makan malam eksklusif mahupun acara koktel. Cuma, pemakaian jaket panas bagai menutupi keindahan busana yang digayakan sekali gus rentak gaya seakan biasa.

Tidak seperti di Malaysia, rekaan busana anggun yang sesuai digayakan sepanjang perjalanan majlis tanpa perlu menutup ruang rekaan. Sudah tentu memukau mata memandang apabila wanita bijak mengenakan aksesori di samping bijak menyuaipadankan beg tangan dan kasut.

Sehubungan itu, sempena musim sejuk, hampir semua jenama pakaian baik dari jenama antarabangsa mahupun tempatan tidak terlepas untuk menghasilkan rekaan blaus pendek berkonsep elegan untuk wanita sofistikated.

Antara jenama yang mencipta rekaan gaun pendek sempena musim sejuk tahun ini, butik pakaian Coast mengekalkan tema gaya anggun kontemporari untuk gaya elegan di samping memberi keyakinan baru tatkala kaki melangkah ke majlis koktel dan makan malam istimewa. Coast tampil dengan campuran rona warna palet bagi menghasilkan rekaan anggun dan nampak mewah.

Gaun anggun Coast yang mampu memikat hati mata memandang antaranya Farida Dress, Deliah Maxi Dress, Romana Jacquard Dress dan Shelby Dress dengan perincian halus dan seksi. Rekaan potongan moden menjadi ikon apabila Coast tampil dengan warna sederhana antaranya elektrik biru, ungu dan hitam sebagai warna yang sesuai di atas fabrik sutera satin, jersi dan sutera jacquard untuk digayakan pada majlis koktel waktu malam.

Selain itu, jenama dari London, Ted Baker juga tampil dengan koleksi gaun pendek bersesuaian dengan tema sama atau lebih kepada gaya kasual dan parti koktel. Bijak mengenakan gaya, busana Ted Baker juga sesuai untuk menghadiri majlis makan malam, malah tidak pelik jika menggayakannya ketika musim sejuk menerusi himpunan yang melambangkan kesederhanaan seseorang.

Menerusi blaus pendek dengan potongan moden dan menggiurkan pada bahagian pinggang dan badan, koleksi Ted Baker membantu meningkatkan keyakinan diri, lebih berani dan percaya pada diri. Fabrik lembut memberi kesan dengan mainan corak serta tanpa corak juga menyerlahkan bentuk badan.

Massimo Dutti, iaitu jenama yang dulunya terkenal dengan koleksi lelaki turut menampilkan lima kategori koleksi pakaian wanita sempena musim sejuk hasil inspirasi yang berbagai. Koleksi terbaru Massimo Dutti iaitu Portobello, Trastevere, Saint Quens, Little Venice dan Hampstead.

Antara hasil karya ialah inspirasi eksotik menerusi persekitaran liberal antara artis dan pemuzik, ketelitian arkitektur bandar Trastevere City, serta inspirasi dari perkampungan Hampstead yang mencerminkan lokasi halaman berbeza dengan menggunakan pelbagai warna semula jadi dan kontras.

Himpunan blaus pendek Massimo Dutti bersesuaian wanita untuk digayakan ke majlis koktel, bagaimanapun, sempena musim sejuk dan melengkapkan gaya, jenama itu turut tampil dengan koleksi pakaian lain seperti jaket panas labuh, kasut boot, skaf atau selendang (shawl) memberi pilihan busana anggun itu untuk acara koktel.

Bagaimanapun, banyak koleksi yang ditawarkan, tidak semua jenis potongan badan sesuai menggayakannya. Pemakaian blaus dan gaun pendek lebih sesuai bagi wanita tinggi lampai ataupun tinggi sederhana dengan tubuh tidak terlalu berisi. Bagi mereka yang agak gempal pula, lebih elok dengan potongan gaun pendek paras bawah lutut.

Perkara asas yang perlu kita tahu dalam pemilihan pakaian ialah memilih warna yang sesuai dengan kulit. Selain itu, juga sesuaikan warna pakaian dengan waktu dan tempat. Warna gelap untuk acara formal, sementara warna cerah untuk acara tidak formal di samping menyesuaikannya dengan karakter.

Ingin menyerlahkan sifat feminin, wanita lebih sesuai mengenakan pakaian warna pastel, sebaliknya jika ingin ingin menarik perhatian orang ramai, pilih pakaian yang berwarna terang.

Potongan moden, kontemporari

INFO

Panduan pemilihan warna pakaian (dari laman web sabahan.bigforumpro.com)

* Kulit cerah - jangan mengenakan warna pastel seperti coklat muda, biru muda atau merah jambu

* Kulit kuning langsat - warna tropika seperti jingga, hijau, merah, kuning dan biru pilihan terbaik.

* Kulit sawo matang - pilih warna ungu, jingga atau merah hati untuk kelihatan lebih menarik.

* Kulit gelap - warna tanah lembut adalah pilihan tepat

Panduan berpakaian untuk tubuh berisi

* Memiliki tubuh pendek dan mungil, kadangkala menimbulkan masalah ketika ingin memilih pakaian. Namun ia tidak bererti masalah itu tidak boleh diatasi, sebaliknya ada beberapa panduan boleh dimanfaatkan bagi membuatkan tubuh badan nampak lebih tinggi dan langsing

1) Kenakan blaus yang kemasannya menarik mata untuk turun secara vertikal (memanjang). Kolar berpotongan `V´ adalah pilihan yang baik.

2) Masukkan baju atau blaus ke dalam seluar panjang supaya kaki anda kelihatan lebih panjang dan tentu saja tampak lebih tinggi.

3) Pakaian yang terlalu longgar seperti jaket yang besar akan membuatkan anda kelihatan lebih besar daripada saiz badan yang sebenar.

4) Kenakan pakaian dengan motif atau corak yang bergaris vertikal.

5) Jangan takut mengenakan skirt pendek, sebaliknya hindari skirt yang labuh melepasi lutut atau paras betis. Pemakaian sebegini akan membuatkan tubuh badan seperti terpotong dan akibatnya anda tampil lebih pendek.

6) Lebih sesuai mengenakan kasut bertumit tinggi.

Tip berpakaian:

* Pakaian yang menggunakan warna gelap akan menimbulkan kesan ramping pada tubuh badan.

* Baju tanpa lengan, berleher tinggi (turtleneck), sempurna untuk meminimumkan dada yang besar.

* Garis seluar dalam yang kelihatan. Carilah cara agar garis seluar dalam anda tidak kelihatan. Salah satu caranya, gunakan seluar dalam berpotongan G-string.

* Tali coli tidak seharusnya diperlihatkan. Sediakan coli tanpa tali, yang dapat digunakan ketika anda mengenakan baju atau gaun tanpa lengan atau bertali halus.

* Ganti kasut lama yang sudah terlalu lama mempunyai warna pudar dan ini akan merosak penampilan.

* Kasut dengan tumit yang sangat rendah sukar untuk dipadankan dengan gaun atau kemeja walaupun ia baik untuk kesihatan kaki.

* Memiliki leher jinjang sesuai untuk baju yang berkolar tinggi.

Jika leher sedikit lebih pendek, pakai rantai atau kalung yang akan memberi kesan lebih cantik.


Source : Berita Harian
By : Hidayah Mohammad
13 Oct 2010

Share

Previous Page