Untuk pastikan keselamatan kanak-kanak terjamin, mendapat faedah daripada didikan diberikan sepanjang penjagaan
INTAN AZURAH... pilih taska berkualiti
JUNAIDA... lebih kepada minat
JIKA dahulu, wanita tempatnya di rumah menguruskan keluarga tetapi kini kebanyakan ibu bekerja dan meletakkan tanggungjawab menjaga anak kepada guru taska dan pengasuh.
Fungsi pengasuh kini bukan setakat menjaga tetapi mendidik anak sama seperti seorang guru. Menyedari peri pentingnya pendidikan awal kanak-kanak, ibu bapa sanggup menghantar anak menjalani pembelajaran di taska dengan bayaran mahal asalkan anak mereka mendapat pendidikan sempurna.
Justeru, kewujudan taska dan pusat jagaan kanak-kanak seakan-akan industri baru serta peluang pekerjaan kepada guru taska dan pengasuh. Justeru, pengusaha taska harus menjalankannya dengan bersungguh-sungguh iaitu menguasai segala ilmu dan bergerak seiring dengan perubahan zaman.
Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurus Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari, menyedari pentingnya taska dan pusat penjagaan kanak-kanak, Konvensyen Peningkatan Kerjaya dan Pembangunan Usahawan Taska dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak anjuran Persatuan Taska Selangor (PTNS) diadakan setiap tahun.
Konvensyen ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan kerjaya, melahirkan tenaga pendidik berketerampilan dan profesional dalam semua aspek. Ini dengan harapan lebih ramai pengusaha pusat asuhan dan jagaan kanak-kanak sentiasa ingin meningkatkan kemahiran serta ilmu pengetahuan untuk meningkatkan kualiti asuhan dan perkembangan awal kanak-kanak.
Di Selangor sahaja, terdapat hampir 260 taska dan pusat penjagaan kanak-kanak berdaftar. Bermula pada tahun ini, semua taska mahupun pusat penjagaan kanak-kanak harus mengambil kursus Sijil Asas Asuhan Kanak-Kanak sebelum mereka dibenarkan menjaga kanak-kanak.
Pembelajaran pula harus mengikut ketetapan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Bagi pengusaha bukan Islam, mereka perlu mendapatkan sijil halal daripada Jakim bagi mengelak mereka memberi makanan tidak halal kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka.
Yaakob mengingatkan ibu bapa supaya memilih taska dan pusat jagaan kanak-kanak berdaftar serta mencari pengasuh yang mempunyai sijil asas dalam bidang terbabit.
"Ini sangat penting bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin. Selain itu, kanak-kanak mendapat faedah daripada didikan diberikan pengasuh sepanjang ketiadaan ibu bapa di rumah.
"Ibu bapa pula jangan lepas tangan sepenuhnya kepada guru taska atau pengasuh. Walaupun masa anak-anak lebih banyak di sana, apabila pulang ke rumah, tugas mendidik dan memberi pendidikan agama seperti solat dan membaca al-Quran masih di bawah tanggungjawab ibu bapa," katanya.
Pada majlis itu, PTNS diberi pengiktirafan Malaysia´s Book of Record untuk mengumpulkan sebanyak mungkin cap tapak kaki kanak-kanak yang menjadi simbolik kepada luahan hati kanak-kanak yang mereka mempunyai hak hidup di dunia, hak bersuara, hak melahirkan rasa suka dan duka, hak untuk disayangi serta mendapat pembelaan sewajarnya.
Menurut Naib Presiden Persatuan Taska Selangor, Latifah Muhammad Yunan, terdapat pelbagai cabaran dihadapi pengusaha taska terutama dari segi persaingan serta peningkatan ekonomi menyebabkan kos menyelenggara turut meningkat.
"Terdapat pelbagai kos terpaksa ditanggung pengusaha taska sehingga tidak mampu menyelenggara dengan baik. Malah, mencari penjaga yang setia turut menjadi masalah disebabkan perbezaan gaji yang sangat ketara dibandingkan kerja di luar. Ini antara punca penjaga sering bertukar ganti.
"Kerajaan menetapkan seorang penjaga mengasuh tiga kanak-kanak sedangkan bayaran untuk tiga kanak-kanak masih belum mampu membayar gaji penjaga. Mana mungkin penjaga mahu menerima bayaran RM500 sebulan, lebih baik mereka bekerja di tempat lain.
"Selain itu, bayaran untuk penjagaan anak yang tidak sama di sesetengah tempat juga menjadi masalah. Kini di kawasan bandar, masih ada yang meletakkan bayaran RM200 sebulan untuk seorang anak, sepatutnya bayaran menjaga anak untuk bayi perlu disamakan menjadi RM300 seorang," katanya.
Ini turut disokong Junaida Mat Abu yang membuka Taska Kimi Kasih di Rawang, Selangor sejak setahun lalu.
"Masyarakat beranggapan membuka taska adalah industri menguntungkan tetapi sebenarnya tidak. Kebanyakan pengusaha menjalankan perniagaan ini lebih kepada minat serta ingin membantu ibu bapa lain.
"Jika diikutkan keuntungan, berapa sangat yang mampu diterima berbanding kos penyelenggaraan yang meningkat setiap tahun," katanya.
Bagi Intan Azurah Mat Ali yang mempunyai 30 kanak-kanak yang belajar di Taska Seri Murni di Banting, setiap pengusaha mempunyai inisiatif sendiri bagaimana mahu meningkatkan kualiti di taska masing-masing.
Menerusi penggunaan barangan alat bantuan mengajar, ditambah kenaikan kos lain, ia menyebabkan ada pengusaha taska yang tidak mendapatkan sijil yang sah.
Justeru, ibu bapa harus bijak memilih taska serta pusat penjagaan sesuai untuk anak mereka.
"Antaranya, cari yang berdaftar, menyediakan ruang persekitaran selesa, mempunyai tempat bermain dan belajar serta pengasuh yang boleh diharap untuk menjaga anak mereka.
"Paling penting, bawa anak sekali ketika membuat pemilihan dan lihat bagaimana reaksi mereka sama ada suka atau sebaliknya," katanya.